PEMENANG Anugerah Desa Cemerlang
Parlimen Pontian gembira bersama Mukhriz Mahathir (tengah) dan Ahmad
Maslan di Pontian, baru-baru ini.
PONTIAN 26 Januari 2012.
Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi dekat sini
muncul juara dalam Anugerah Desa Cemerlang (ADC) 2011 peringkat Parlimen
Pontian dengan menewaskan tujuh kampung lain di peringkat akhir,
membolehkannya membawa pulang wang tunai RM25,000 serta projek
pembangunan bernilai RM150,000.
Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Ayer Baloi, Ahmadon Md. Som berkata,
kemenangan itu merupakan kejayaan buat kira-kira 2,000 penduduk Kampung
Puteri Menangis melalui moto IPPLIK yang dipetik daripada perkataan
jawa, ponorogo yang bermaksud sentiasa bekerja sepanjang masa.
“Melalui moto itu, penduduk di sini yang kebanyakannya berketurunan
Jawa mampu meningkatkan taraf hidup sosio ekonomi dalam bidang
pertanian.
“Kampung Puteri Menangis juga melahirkan ramai kontraktor dari kelas F
sehingga kelas tinggi dan mampu membina projek jutaan ringgit.
“Hadiah kemenangan RM25,000 akan digunakan bagi meningkatkan lagi
keceriaan serta menambah baik kemudahan sedia ada bagi bertanding di
peringkat daerah dan negeri,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu
di sini baru-baru ini.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mukhriz Tun Dr. Mahathir sambil
disaksikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.
Tempat kedua disandang oleh Kampung Parit Haji Omar, Kampung Api-Api
pula membawa pulang RM15,000 sementara Kampung Parit Marjunid, Sungai
Pinggang di tempat ketiga dengan wang hadiah RM5,000.
Empat kampung lain yang layak ke peringkat akhir masing-masing
menerima RM2,000 iaitu Kampung Kayu Ara Pasong. Kampung Parit Yassin,
Kampung Permatang Palas dan Kampung Parit Makuasang.
Sementara itu, bagi Setiausaha JKKK Kawasan (1) Mukim Ayer Baloi,
Sapari Sohadi menyifatkan kejayaan tersebut cukup manis setelah semua
pihak bertungkus-lumus sepanjang beberapa bulan yang lalu melalui produk
inap desa yang telah berjaya menarik pengunjung dalam dan luar negara.
“Inap desa itu sesuai bagi mereka yang mahukan suasana kampung dan mengikuti aktiviti pertanian yang dilakukan.
“Kemenangan ini akan menjadi perintis kepada kejayaan lebih besar
melalui gandingan generasi lama dan muda dalam pertandingan peringkat
daerah nanti,” katanya.