SEJARAH

Sejarah Kampung Kayu Ara Pasong

1.    Kampung Kayu Ara Pasong dibuka pasa tahun 1911.

2.    Nama Pelopor orang yang membuka kampong ini dari awal :

a)   Haji Ali bin Quribon – Berasal dari Kampung Kemeri Pondok Tebu
                                      Hitam,  Indonesia.
b)   Haji Tahir bin Sarpo – berasal dari Ndjowono, Indonesia
c)   Haji Siraj bin Binyamin – berasal dari Madion, Indonesia
d)   Mohd Esa bin Abdullah – berasal dari Meglan, Indonesia
e)   Haji Abdul Rahman bin Abdullah (Tukang kebun Almarhum Sultan
                                                     Abu Bakar, Johor)

3.    Nama-nam yang menyertai kemudian :

a)   Haji Hassan bin Pardi  -  berasal dari Ndjowono, Indonesia
b)   Haji A. Kadir bin Omar  -  berasal dari Kendal, Indonesia
c)   Sardi bin Worokerto  -  Berasal dari Kampung Nalum Seri Surabaya, Indonesia.

4.    Pertemuan antara pembuka Kampung Kayu Ara Pasong.

Pada awalnya mereka membuat pertemuan di Singapura kerana pada zaman pelayaran, setiap pelayaran diketuai oleh seorang Syeikh, ini bagi memudahkan pelayar-pelayar itu mendarat.  Mereka selalu bertemu di masjid Sultan, Singapura dimana  lepas sembahyang antara mereka berkenalan dan mengaku  yang masing-masing dating dari Indonesia (Tanah Jawa).

5.    Tujuan datang ke Singapura

Tujuan mereka meningalkan tanah air (Tanah Jawa) ialah berhasrat untuk membuka kebun bagi menyara hidup mereka.  Dengan keazaman dan cerita yang tersebar bahawa di Pekan Kukup ramai yang Berjaya membuka kebun, mereka pun dating ke Pekan Kukup.  Setibanya di Pekan Kukup kumpulan ini mencari tempat tumpangan buat beberapa hari. 

Kumpulan ini mendapat berita daripada orang-orang Kukup bahawa pembukaan tanah banyak berlaku di Kuala Perhentian Besar yang sekarang dikenali sebagai Pontian Besar.  Dari Pekan Kukup Laut, mereka bertolak ke utara dengan menyusuri tepian Kukup hingga sampai ke Kuala Perhentian Besar dan kumpulan ini diketuai oleh Haji Ali bin Quribon.

6.    Sampai ke Kuala Sungai Perhentian Besar.

Setelah sampai di Kuala Sungai Perhentian Besar, mereka dapati penduduk di Kuala Perhentian Besar ini sangat ramai dan banyak perahu, jalur dan sampan yang digunakan untuk mengangkut barang-barang dan menghantar barang-barang tersebut kepada pedagang-pedagang luar.  Kumpulan ini tinggal di Kuala Sungai Perhentian Besar untuk beberapa hari.  Mereka mendapat berita  bahawa banyak hutan di Hulu Sungai Perhentian Besar yang masih belum ditebang dan diterokai tetapi tempat tersebut sangat merbahaya.
  
Perahu jalur yang diperbuat daripada kulit kayu.

Perahu jalur dari batang pokok yang ditarah dan ditebuk.


7.    Tekad Bersatu Padu

Setelah berbincang, maka Haji Ali bin Quribon dan isterinya yang bernama Ibu Kasmunah bt. Abdullah dan rakan-rakannya yang setia terus bertolak ke Ulu Sungai Perhentian Besar dengan perasaan tabah dan berani.  Setelah berjalor di sungai selama sehari, mereka pun sampai ke sebuah kawasan di mana kawasan ini sungainya berteluk dan besar serta pokok-pokok di tepi sungai sangat baik.

Di sebelah kiri teluk itu terdapat satu anak sungai yang terusannya ke darat, dan mereka pun memberhentikan jalor atau perahu untuk mendarat.  Anak sungai itu menjadi pelabuhan kecil bagi kumpulan itu.  Mereka pun bermalam semalaman di anak sungai tersebut.  Selepas sembahyang mereka berdoa memohon kepada Illahi semoga cita-cita membuka kampong ini mendapat kejayaan.

Pada keesokan harinya, Haji Ali bin Quribon memang terkenal di Indonesia sebagai Kiyaai dan alim serta pandai menyatukan sahabat-sahabatnya.  Mereka pun memulakan kerja menebas dan menebang pokok dengan berani sehingga Berjaya membuka kampong yang baru.

8.    Memberi Nama Kampung

Setelah beberapa bulan meneroka kebun yang belum diberi nama, kebun yang diteroka semakin besar dan menjadi sebuah kampong.  Haji Ali, Haji Tahir dan Haji Siraj yang kemudiannya menjadi Penghulu dan Haji Tahir menjadi Ketua Kampung (Gelaran Pak Tahir Menteri) bersependapat dengan cadangan daripada Haji Ali.  Di tepi anak sungai terdapat sebatang pokok Kayu Kasih yang sangat besar dan pada Kayu Kasih ini ada terlekat pokok Kayu Ara sebatang dan di bahagian bawahnya bercabang dua. 

Jika di pandang sekali imbas seolah-olah pokok Kayu Ara ini memasong pokok Kayu Kasih. Pandangan waktu malam pula seolah-olah seorang yang sedang di pasong.  Maka ketiga-tiga perwira itu pun bersetuju memberikan nama kampong yang dibuka oleh mereka dengan Kampung Kayu Ara Pasong dan kekal sehingga sekarang.

 9.    Hubungan Antara Pemerintah dan Peneroka

Dalam hubungan kerja-kerja meneroka kebun, Haji Siraj bin Bunyamin dan Sikom bin Mohd Esa menjadi pengiring yang menemui Tuan Pegawai Daerah Kukup ( Yang bernama Wan Hussein ). Setelah diperkenankan oleh Tuan Pegawai Daerah maka rasmilah kampung Kayu Ara pasong.

Pada tahun 1916, tuan Pegawai Daerah telah mengishtiharkan Haji Siraj menjadi Penghulu dan Haji Tahir menjadi Ketua Kampung. Pekan Perhentian Besar ( Sungai Pontian Besar sekarang )menjadi tumpuan peneroka untuk mencari bahan-bahan makanan serta alat-alat kerja dan orang-orang Daerah Kukup juga ke Sungai Perhentian Besar dengan menaiki perahu, Akhirnya pada tahun 1920 kampung Kayu Ara Pasong telah dibuka dengan luas kira-kira 300 ekar dan dari tahun 1920 hingga 1925 kampung ini telah didatangi oleh peneroka-peneroka baru dari beberapa tempat.
Kampung Kayu Ara pasong hingga ke kampung Pt.Hj.Siraj dan kampung Pt.Hj.Abd Wahab kumpulan dari Perak dan kampung Pt.Sulaiman dari kumpulan orang-orang Muar dan Johor Baharu. Pada tahun 1929 hingga 1935 Sikom mengetuai satu kumpulan membuka Kampung Parit Sikom bersama Haji Ariff bin Othman hingga kekal nama kampung Parit Sikom hingga ke seberang Sungai Pontian Besar ( Parit Sikom Ulu, Mukim Pontian ).

10.Kesan Sejarah.

Dari sejarah pembukaan kampung Kayu Ara Pasong dan beberapa Kampung yang lain, adalah ekoran dari terbukanya satu kawasan yang dikatakan sangat merbahaya, kerana pada waktu itu terdapat binatang-binatang buas dan kadang-kadang menimbulkan seram di satu-satu kawasan.

Terdapat satu kubur Allahyarhamah Ibu Kasmunah bt Abdullah (isteri Haji Ali bin Quribon) dikebumikan hanya 20 rantai sahaja dari tempat pembukaan Kampung Kayu Ara pasong dan kesan-kesan sejarah yang lain telah tertimbus kerana perlaksanaan Rancangan Johor Barat.

Bermula daripada tahun Kampung ini dibuka hingga tahun 1981, sejumlah 3000 ekar telah meliputi kampung-kampung berikut:-

a)   Kampung Kayu Ara Pasong
b)   Kampung Pt. Hj. Siraj
c)   Kampung Pt. Sulaiman dan Jln Kolam Air
d)   Kampung Pt.Sikom, Kayu Ara Pasong dan beberapa lapis jalan dan kampung yang telah diteroka dengan baik dan sempurna mengikut sistem pembahagian setiap orang peneroka menerima 5 ekar, dan jumlah penduduk mencecah 3000 orang dengan luas kawasan 7 batu persegi.
e)   Kampung Pt.Hj.Abd Wahab.



Gambar Pontian Besar - 30 Julai 1949

Sedikit info :

Perahu yg terdapat di sebelah kanan gambar ialah BEDAR, Perahu yg belayar dari Terengganu yang menghantar garam dan lain keperluan ke serata pelusuk nusantara termasuk ke Pontian
Kredit FB : Dapunta Hiyang