Saturday, 27 February 2016

SEJARAH PONTIAN IV

PONTIAN – TENGGAYUN 


SUNGAI BUNYI
            Setelah selesai meninjau ke utara dan sempadan antara daerah Pontian dengan Batu Pahat kita kembali semula ke Bandar Pontian dan membuat perjalanan ke arah Johor Bahru. Kira-kira 2 kilometer dari Bandar Pontian kita temui Kampung Duku kerana di kawasan ini memang banyak terdapat pokok duku. Kita teruskan perjalanan dan kita akan temui simpang menunjukkan jalan ke kampung Sungai Bunyi. Pada masa mula-mula di teroka di sungai ini sering kedengaran bunyi tangisan. Ini samalah seperti yang berlaku pada kampung Parit Puteri Menangis. Lantaran itulah kampung ini dinamakan Sungai Bunyi.

SERI BUNIAN
 
            Kita terus mara ke hadapan dan kita temui Seri Bunian. Kampung ini dahulunya dikenali sebagai kampung batu 33 dan bersebelahan dengan Sungai Bunyi. Penduduk-penduduk kampung ini adalah pandatang-pendatang dari Jawa. Orang-orang Jawa di sini menyebut Sungai Bunyi dengan sebutan ‘Sungei Boni’. Pada tahun 1950an orang-orang kampung secara gotong-royang telah mendirikan sekolah (sekolah rakyat) dan menamakan sekolah ini dengan nama Sekolah Melayu Seri Bunian iaitu perubahan dari ‘Sungai Boni’ dan mengingatkan kepada nama lagu Puteri Bunian. Dari nama sekolah ia berubah menjadi nama kampung kerana dirasakan nama Seri Bunian ini amat indah dan menarik.


TENGGAYUN
            Kita masuk ke Kampung Seri Bunian seterusnya ke dalam lagi kita temui kampung Tenggayun.  Kampung ini diteroka dan dibuka oleh penghijrah-penghijrah dari Jawa sekitar tahun-tahun 1920an.  Nama ‘Tenggayun’ adalah dari bahasa Jawa yang bermakna sejenis pokok yang buahnya seperti buah durian. Dalam Kamus Dewan ‘tenggayung’ disebutkan sebagai sejenis tumbuhan (pokok yang kayunya dijadikan perkakas rumah), Parartocarpus trianda. Kita berpatah balik untuk menuju ke Johor Bahru. Kita sampai ke simpang yang
menunjukkan arah ke Parit Selangor.


KESIMPULAN
            Sebahagian besar kampung-kampung tradisional terutama yang terletak di tepi jalan besar dari Kukup di selatan membawa ke Tampok di utara sedikit sebanyaknya telah terakam mengenai asal usul namanya. Demikian pula asal mulanya kampung-kampung dan tempat-tempat di jalan besar antara Pontian Kechil ke Ulu Choh. Namun terdapat puluhan kampung dan tempat lagi dalam mukin-mukim di daerah Pontian ini yang tidak  diketahui asal mula namanya.
Para pembaca sendiri hendaknya dapat turut sama untuk menyelidik dan mengetahui asal usul nama kampung atau tempat ini. Dengan ini anda turut sama memahami, mengenali, mempelajari dan mencintai sejarah negara dan bangsa sendiri.



RESPONDEN:
  1. Tuan Hj. Misran Hj. Nor, Penghulu Mukim Ayer Baloi, Pontian
  2. En. Ilham Mahujan, Penghulu Jeram Batu – Pangkalan Raja, Pontian
  3. Tuan Hj. Mokhtaram Rabidin, Bekas Anggota Parlimen Kawasan Pontian dan Bekas Pengetua Sekolah Datuk Ali Haji Ahmad, Pontian
  4. Tuan Hj. Mohd. Arif Ghazali, Bekas Setiausaha Datuk Ali Haji Ahmad,Pontian
  5. Tuan Hj. Abas Sahidin, Ketua Kampung Parit Keroma, Ayer Baloi, Pontian
  6. Tuan Hj. Abu Bakar Othman, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  7. Tuan Hj. Yaakub Mohd. Sham, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  8. Tuan Hj.. Sulaim
  9. Tuan Hj. Shamsi Adnan, Bekas Penghulu di Pejabat Daerah Pontian
  10. Tuan Taib, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  11. Tuan Hj. Abd. Rahman Abd. Manan, Bekas Pekerja Sek. Keb. Sanglang, Pontian
  12. Tuan Hj. Shamsudin Ahmad, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  13. Tuan Haji Abd.Wahab Ahmad, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pekan Nanas,

Rujukan Artikel klik sini

Friday, 26 February 2016

SEJARAH PONTIAN III

PONTIAN – AYER BALOI 

KAYU ARA PASONG
        Dari Pontian Besar kita menuju ke utara. Kira-kira satu kilometer dari jambatan Sungai Pontian Besar kita temui simpang tiga. Kita berbelok ke kanan dan memasuki jalan ke Kayu Ara Pasong. Kampung ini memperoleh namanya kerana wujudnya dua pokok kayu ara diantara dua tebing sungai di kawasan Parit Kayu Ara Pasong di ulu sungai Pontian Besar. Dahan kedua-dua pokok kayu ara ini bertemu dalam keadaan seperti berpasung.Dengan itulah  dinamakan Kayu Ara Pasong. Pada awal-awal pembukaannya dahulu kampung Kayu Ara Pasong ini dikenali sebagai ulu Pontian Besar kerana letaknya di kawasan ulu sungai Pontian Besar. 

Kampung ini telah diteroka dan dibuka oleh penghijrah-penghijrah dari Tanah Jawa yang diketuai oleh Haji Siraj bin Bonyamin. Beliau juga menjadi penghulu pertama kampung ini yang ditauliahkan oleh raja Johor menjadi penghulu pada tahun 1889. Pekan yang kini dikenali sebagai Pekan Kayu Ara Pasong, dahulu dikenali juga dengan panggilan ‘pasar’ iaitu tempat para penduduk kampung-kampung sekitar kawasan ini berbelanja di beberapa buah kedai yang ada di situ. Dari  pekan Kayu Ara Pasong kita teruskan perjalanan dan membelok ke arah kanan menuju Jalan Kolam Air.


API-API
         Kita berpatah balik ke simpang Pontian Besar - Kayu Ara Pasong. Kita teruskan perjalanan ke arah utara. Kita temui kampung Api-Api. Di bahagian pantai kampung ini kedudukannya adalah berteluk dan banyak ditumbuhi pokok Api-api. Inilah puncanya tempat ini dinamakan Api-Api. Api-Api mula dibuka kira-kira tahun 1900 dengan mempunyai penghulu bertauliah bernama Husin bin Wak Tema. Apabila dilakukan pembentukan dan pindaan mukim dan daerah pada tahun 1927, kampung-kampung yang berdekatan dengan Api-Api seperti Pulai Sebatang, Pontian Besar dan Kayu Ara Pasong telah dirangkai dan menjadi mukim Api-Api di bawah jagaan seorang penghulu iaitu Abdul Ghani bin Ahmad. Selepas tahun 1900, beberapa kampung baru di bahagian sebelah darat telah dibuka oleh penghijrah-penghijrah dari Jawa di sekitar kawasan mukim Api-Api ini. Kampung-kampung ini ialah Parit Sg. Naga, Parit Haji Zain, Parit Haji Omar, Parit Haji Abdul Rahman, Parit Haji Dahlan dan lain-lain. 


PULAI SEBATANG 
            Dari Api-Api kita ke Pulai Sebatang pula. Kampung ini memperoleh namanya dari adanya sebatang pokok pulai yang amat tinggi di kawasan ini. Oleh kerana tingginya, ia menjadi pedoman orang-orang yang belayar di laut apabila hendak masuk ke kuala sungai kampung ini. Bagaimanapun pokok kayu pulai yang tinggi dan bersejarah ini kini telah tumbang. Sebelum dikenali dengan nama Pulai Sebatang kampung ini dikenali sebagai Sungai Ayer Baloi Kanan yang diteroka oleh Tandang bin Ming dan Tok Serah serta beberapa pengikutnya orang-orang Bugis dari Kesang, Muar. Apabila diadakan pemilihan penghulu, Tandang bin Ming telah terpilih dan diberi tauliah oleh raja Johor pada 1 Zulhijah 1306 Hijrah iaitu kira-kira tahun 1889 Masehi. 

Apabila Penghulu Tandang meninggal dunia, jawatan penghulu disandang pula oleh anak Tok Serah yang bernama Abdul Manaf dan diberi tauliah pada 23 Februari 1910. Salah seorang anak Penghulu Abdul Manaf ialah Mohd. Noh yang kemudiannya menjadi Guru Pasukan Sekolah-sekolah Melayu Pontian pada tahun-tahun 1950an. Kemudiannya pada tahun-tahun 1970an menjadi Nazir Sekolah-sekolah Melayu Daerah Johor Bahru. Pada era Dato’ Sardon Jubir menjadi wakil rakyat Parlimen kawasan Pontian Utara beliau telah mengusahakan penubuhan kilang mengetin nanas milik kerajaan di kampung ini. Walau bagaimanapun setelah kira-kira satu dekad beroperasi kilang ini merosot dan merugikan. 

Akhirnya terpaksa ditutup. Sebuah syarikat elektronik dari Singapura kemudian menyewa bangunan kilang ini untuk beroperasi sebagai kilang elektronik. Setelah beberapa tahun dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di sini serta luar kilang ini ditutup. Mulai tahun 2000 lalu sebuah blok kilang ini digunakan sebagai bangunan Institut Kemahiran Belia Negara yang sebelumnya berpusat di Skudai, Johor Bahru. 


AYER BALOI
            Dari Pulai Sebatang kita ke hadapan lagi dan sampai ke Ayer Baloi. Pekan Ayer Baloi ini dahulu terkenal dengan panggilan ‘Tambur’. Ini disebabkan di tengah-tengah pekan ini mengalir anak sungai yang telah mati dan tiada berair sehingga tersumbat air di bawah jambatan yang merentangi anak sungai pekan ini. Dari keadaan sungai yang tambur atau tersumbat dan kekeringan air ini satu hari berlakulah banjir besar. Air dari laut telah melempah di tengah pekan ini. Kalau selama ini tempat ini kering kini ia dibanjiri air. Memang sungguh’berbaloi’ apabila menerima limpahan air ini. Sejak itu juga orang sering menyebutnya ‘Air Baloi’. 

Ayer Baloi mulanya dikenali sebagai Sungai Ayer Baloi yang telah diteroka atau dibuka oleh Tahir bin Kesang. Beliau berasal dari Kesang Muar dan kemudian menetap dengan Temenggung Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura. Beliau telah dititahkan oleh Temenggung untuk membuka dan seterusnya menjadi Penghulu Ayer Baloi dan ditauliahkan pada 1 Zulhijah 1292 Hijrah bersamaan tahun TM1889. Ayah Haji Tahir iaitu Kesang adalah orang yang membuka Kesang di Muar yang menjadi sempadan antara Johor dengan negeri Melaka. Adik beliau yang dikenali sebagai Tok Moin dipercayai telah membuka Sungai Benut. Keturunan dari Haji Tahir ini telah menjadi Penghulu Ayer Baloi. Selepas kematiannya anaknya yang bernama Abu Bakar telah menggantikannya sebagai Penghulu Ayer Baloi yang kedua. Seterusnya cucunya yang bernama Yaumun pula telah menjadi Penghulu Ayer Baloi yang keempat dan akhirnya cicitnya yang bernama Ibrahim telah menjadi Penghulu Ayer Baloi yang keenam sehingga bersara pada tahun 1973. 


Rujukan Artikel klik sini

Thursday, 25 February 2016

SEJARAH PONTIAN II


BANDAR PONTIAN  


JALAN BAKEK   
 
      Dari Rimba Terjun kita ke Bandar Pontian. Kita sampai di simpang empat jalan ke Johor Bahru ke Pusat Perdagangan Pontian dan ke Jalan Bakek. Kita lalui Jalan Bakek yang membawa ke pusat Bandar Pontian. Di Jalan Bakek inilah dahulu pekan Pontian bermula hingga kini membesar dan berkembang seperti yang ada sekarang. Kalangan orang-orang tua hingga kini masih menyebut perkataan ‘bakek’ apabila mereka hendak ke Bandar Pontian. Perkataan ‘bakek’ adalah dari nama tumbuhan melata yang banyak terdapat di kawasan ini. Daun tumbuhan ini seperti daun sirih. Mengambil sempena banyaknya tumbuhan ini di tempat ini maka jalan dari simpang empat tadi hingga ke Sungai Pontian Kecil dinamakan Jalan Bakek.


PONTIAN KECHIL
Kita sampai di jambatan untuk menyeberang sungai Pontian Kechil. Nama Pontian Kechil berasal dari ‘Perhentian Kechil’. Pada zaman dahulu di kuala sungai inilah jadi tempat ‘perhentian’ atau persinggahan orang-orang yang berperahu atau bersampan yang melalui perairan ini untuk singgah berlabuh sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang lain. Oleh kerana perhentian di sini agak kecil, dan tidak ramai orang menyinggahinya jika dibandingkan dengan perhentian di kuala sungai yang satu lagi tidak jauh dari tempat ini, maka tempat ini dikenali sebagai ‘perhentian kechil’. Lama-lama sebutan ini berubah menjadi ‘Pontian Kechil”. Pendapat yang lain pula menyebutkan di kuala sungai inilah ‘perhentian ‘ para perompak lanun sebelum dan selepas merompak perahu-perahu yang lalu lalang  di perairan ini. Sebagai mengingati sejarah ‘perhentian’ ini juga nama sebuah sekolah menengah di Bandar ini dinamakan Sekolah Sri Perhentian. Begitu juga dataran jam yang dibangun di stadium mini Bandar Pontian ini dinamakan Dataran Perhentian. 

JALAN ALSAGOFF
Kita tinggalkan Sungai Pontian Kechil dan melalui Jalan Alsagoff. Nama Alsagoff ini adalah mengambil sempena nama Syed Muhammad bin Ahmad Alsagoff atau nama timang-timangannya Nongchik, seorang ahli perniagaan keturunan Arab yang terkenal di Singapura yang telah meneroka dan membuka daerah Kukup, pada tahun 1878 yang kemudiannnya dinamakan Pontian. Syed Muhammad Alsagoff adalah sahabat karib Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor ketika itu. Beliau juga sering membantu dan memberi pinjaman kepada Sultan Abu Bakar apabila Sultan Abu Bakar melawat benua Eropah. Malah beliau juga sering menemani dan bersama-sama Sultan Abu Bakar membuat lawatan ke luar negeri. Mengenangkan jasa dan sumbangan Syed Muhammad Alsagoff kepada baginda sultan dan negeri Johor, baginda telah menganugerahkan pingat Darjah Kerabat Johor (DK) kepada sahabat karibnya ini pada tahun1886.

JALAN TAIB
Kita lalui Jalan Alsagoff menuju ke tengah-tengah Bandar. Di sebelah kanan kita temui Jalan Taib. Nama jalan ini adalah mengambil sempena nama Mohd Taib bin Yusuf iaitu Penghulu kedua Mukim Pontian selepas Penghulu Abdul Manas bin Duarum. Beliau mula manjawat jawatan penghulu pada tahun 1910 berikutan kematian bapa saudaranya Abdul Manas bin Duarum. Penghulu Taib sebagai pentadbir mukim Pontian telah berusaha bersama-sama Pentadbir daerah di Kukup Laut bagi memajukan Pontian Kechil. Pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, rumah pasung, masjid, pejabat pos dan lain-lain kemudahan awam telah dibina. Beliau meninggal dunia pada tahun 1932 dan diganti oleh Penghulu Abdullah.

JALAN ISMAIL
Kita lalui pusa Bandar Pontian dan sampai ke simpang empat. Di kiri kita temui bangunan Maybank. Pada kawasan Maybank ini dahulu terletaknya masjid pertama Pontian Kechil yang dibuat dari kayu dan beratap zink. Berhampiran kawasan masjid ini juga dahulu terdapat tanah wakaf perkuburan Islam. Membelok ke kiri kita lalui Jalan Ismail. Jalan ini adalah mengambil sempena Encik Ismail yang menjadi jurutera di Lembaga Bandaran Pontian pada masa pusat pentadbiran Kukup (Pontian) berpindah dari Kukup Laut ke Pontian Kechil pada tahun 1935. 

JALAN PARIT MESJID
Kita kembali ke simpang empat. Arah bertentangan Jalan Ismail adalah Jalan Parit Masjid. Nama masjid pada jalan ini adalah mengambil sempena bangunan masjid yang terletak di kawasan yang kini ditempati bangunan Maybank. Jalan Parit Masjid ini memanjang melalui Kampung Parit Masjid dan seterusnya bertemu Kampung Parit Patah. Sebelum ini pada tahun 1960an dan 1970an, jalan ini dikenali dengan nama Jalan Wan Husin mengambil sempena nama Pemungut Hasil Tanah Daerah Kukup pada awal tahuin 1920an.

JALAN UMNO
Apabila kita masuki Jalan Parit Masjid mulai dari simpang empat yang menempatkan bangunan Maybank kita akan bertemu bangunan Tenaga Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara. Di hadapan bangunan TNB ini kita temui Jalan UMNO. Ia adalah mengambil sempena terletaknya bangunan ibu pejabat UMNO Pontian di jalan ini. Sebelum ini nama jalan ini ialah Jalan Lermit iaitu mengambil sempena nama seorang Inggeris yang bertugas sebagai posmen dan menjadi perantara antara kerajaan Johor dengan Syed Muhammad Alsagoff, peneroka tanah konsesi Kukup pada tahun 1878. Bangunan UMNO ini telah dibina hasil pungutan derma dari ahli-ahli UMNO dan orang Melayu Pontian pada tahun 1950an. Bangunan yang berharga RM27,000.00 ini mula dibina awal tahun 1954 oleh Encik Sulaiman Ambong, seorang kontraktor Melayu dari Batu Pahat dan siap pada penghujung tahun itu juga. Bangunan ini kemudiannya telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Dipertua UMNO YTM Tunku Abdul Rahman Putera pada 15 Mac 1955.

JALAN SYAWAL
Dari pangkal Jalan UMNO yang berhadapan dengan bangunan TNB tadi kita akan temui Jalan Syawal. Jalan Syawal ini adalah mengambil sempena nama Penghulu Syawal bin Sya’ban iaitu penghulu yang menjaga dan mentadbir kawasan Mukim Air Masin di kawasan Kukup pada awal tahun 1900an.

JALAN MOHD. SALLEH
Kita tinggalkan Jalan Syawal untuk lalu di hadapan Dewan UMNO dan seterusnya bertemu simpang empat. Di hadapan kita adalah Jalan Mohd. Salleh. Nama jalan ini adalah mengambil sempena pemilik tanah kawasan ini iatu Mohd. Saleh. Ia adalah ayah kepada Penghulu Abdullah yang dikenali juga sebagai Penghulu Jantan. 

JALAN DATO ALI RAYA

Kita membelok ke kiri melalui Jalan Dato Ali Raya. Sebelum ini jalan ini bernama Jalan Whitehouse iaitu mengambil sempena nama pegawai Inggeris yang menjadi wakil penerima tanah konsesi Alsagoff (Receiver Alsagoff Consession). Dato’ Ali Raya yang diabadikan pada nama jalan ini adalah Penolong Pegawai Daerah Pontian dari tahun 1952 hingga 1955. Disamping tugasnya sebagai Penolong Pegawai Daerah, beliau juga menjadi Ketua UMNO Bahagian Pontian. Beliau kemudian bertukar ke Kota Tinggi menjawat jawatan Pegawai Daerah pula.

Semasa beliau memimpin UMNO di Pontian, banyak kemajuan dan perubahan telah dilakukan hingga UMNO Pontian menjadi salah sebuah bahagian UMNO yang kuat dan disegani. Banyak cawangan-cawangan baru UMNO telah ditubuhkan di kampung-kampung. Ahli-ahli UMNO bertambah ramai. Atas daya usahanya juga sebidang tanah dapat dibeli dari Chen Sow Chong dan Yoong Wan Tat dengan harga RM7,000.00 bagi didirikan bangunan ibu pejabat UMNO Bahagian Pontian. Pada awal tahun 1956 beliau ditukarkan ke Kota Tinggi untuk menjawat jawatan Pegawai Daerah Kota Tinggi. Beliau kemudian bergerak cergas dalam politik UMNO hingga dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Endau. Seterusnya beliau dipilih menjadi Speaker DUN Johor dari tahun 1964-1969. 

JALAN ABAS
Dari Jalan Dato Ali Raya kita berbelok ke kiri untuk singgah di masjid jamik Bandar Pontian. Di hadapan masjid ini terdapat sebatang jalan menghala ke pantai. Jalan ini dinamakan Jalan Abas. Abas adalah mengambil sempena nama Encik Abas yang menjadi mandur atau ketua pekerja buruh kasar Lembaga Bandaran Pontian pada tahun-tahun 1930an dan 1940an.

LORONG ABDULLAH
Dari masjid jamek Bandar Pontian kita teruskan perjalanan ke arah utara. Selepas Jalan Dato Ali kita temui Jalan Abdullah. Jalan ini adalah mengambil sempena nama Penghulu Abdullah bin Mohd. Salleh yang dikenali juga dengan nama Penghulu Jantan iaitu Penghulu Mukim Pontian dari tahun 1932 hingga tahun 1941. Beliau adalah saudara  sepupu dengan Penghulu Taib iaitu Penghulu yang kedua Mukim Pontian bagi menggantikan Penghulu Abdul Manas bin Duarum yang meninggal pada tahun 1910. Menjelang kedatangan tentera jepun pada penghujung tahun 1941, Penghulu Abdullah telah ditangkap oleh tentera Inggeris dan dibawa berundur ke Singapura. Beliau dituduh bekerjasama dengan pihak Jepun kerana ditemui sehelai bendera Jepun di rumahnya. Nasib beliau tidak diketahui sepanjang masa pendudukan tentera Jepun di Singapura dari tahun 1942 hingga 1945. Beliau dipercayai terkorban semasa serangan udara tentera Jepun terhadap Singapura pada awal Januari 1942.

PARIT SEMERAH
Kita ke arah utara lagi dan menemui Jalan Parit Semerah. Kita berbelok ke kanan dan masuk Jalan Parit Semerah untuk seterusnya Kampung Parit Semerah. Nama Parit Semerah adalah sempena nama Semerah di Batu Pahat iaitu kampung asal para peneroka dan pembuka awal kampung ini yang diketuai oleh Abdul Ghafur. Mereka datang meneroka dan membuka Parit Semerah. Pontian ini pada penghujung tahun 1890an dan awal 1900an. Nama Semerah adalah berpunca dari nama pokok ‘merah’ yang terdapat di Semerah, Batu Pahat itu. Selain orang-orang Melayu dari Semerah yang sebahagiannya dari Melaka, orang-orang Jawa kemudiannya turut sama meneroka dan membuka Parit Semerah di Pontian ini.

PARIT KUDUS
Kita terus ke Parit Kudus. Kampung Parit Kudus telah diteroka dan dibuka sekitar tahun 1920an oleh penghijrah-penghijrah dari daerah Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Dengan itulah mereka menamakan kampung mereka sempena nama daerah asal mereka di Tanah Jawa. Perkataan ‘Kudus’ adalah dari bahasa Arab yang bererti ‘suci’. Nama Kudus sebagai nama kota dan daerah di Tanah Jawa itu telah diberi oleh Jaafar Sadik, salah seorang Wali Songo (Kumpulan Sembilan Wali) yang mengembangkan agama Islam di Tanah Jawa. Kudus tidak jauh dari kota Demak. Kedua-dua tempat ini dijadikan pusat gerakan untuk mengembangkan dan menyebarkan agama Islam di Tanah Jawa pada zaman silam.

PONTIAN BESAR
Kita tinggalkan Parit Kudus dan melalui semula Jalan Parit Semerah untuk seterusnya ke utara lagi. Kita sampai di jambatan Sungai Pontian Besar. Sebagaimana Pontian Kechil, nama Pontian Besar adalah dari perkataan ‘perhentian’. Kalau di kuala Pontian Kechil dikenali sebagai ‘Perhentian Kechil’, Pontian Besar adalah dikenali sebagai ‘perhentian besar’. Sebutan ‘perhentian besar’ kemudiannya berubah menjadi ‘Pontian Besar’.

Semasa daerah Pontian ini bernama Kukup dan berpusat di Kukup Laut, Pontian Besar agak terkenal kerana di sini ada pejabat kastam, rumah pasung (balai polis) dan pejabat pemeriksaan hasil hutan. Kapal-kapal dari Singapura juga berlabuh di sini selain singgah di Kukup dan Benut. Ketika itu Pontian Besar lebih besar dari Pontian Kechil. Bagaimanapun apabila pusat pentadbiran Kukup berpindah ke Pontian Kechil seterusnya nama daerah Kukup berubah nama menjadi Pontian, Pontian Kechil menjadi lebih besar dan membangun sebaliknya pula Pontian Besar mula malap seperti juga Kukup Laut. 



Rujukan Artikel klik sini 

Wednesday, 24 February 2016

SEJARAH PONTIAN I



SEJARAH
Nama Pontian adalah dipercayai berasal daripada perkataan `PERHENTIAN' yang bermaksud tempat persinggahan yang mana pada zaman dahulunya ia menjadi tempat persinggahan bagi kapal-kapal dan perahu yang menggunakan Selat Melaka sebagai jalan perhubungan antara Melaka dan Singapura.

Terletak di Pantai Barat Negeri Johor dengan bersempadankan Daerah Kluang dan Johor Bahru di bahagian Timur, Daerah Batu Pahat di Barat Laut dan Selat Melaka dibaratnya. Seorang Saudagar Arab, Tuan Syed Muhamad Alsagoff adalah merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membangunkan Daerah Pontian yang hanya pada masa itu hanya bermula sebagai sebuah estet dalam tahun 1878, dan di bawah pemerintahan "Maharaja Sultan Abu Bakar" Pontian adalah sebuah daerah terkecil dinegeri Johor Darul Ta'zim.

Ia terletak di sebelah Selatan Semenanjung Malaysia, bersempadankan Selat Melaka, Selat Johor, Sungai Pulai, Gunung Pulai dan Sungai Tampok. Walaupun begitu, daerah Pontian mempunyai keistimewaannya iaitu sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Umpamanya, Pengistiharaan Tanjung Piai sebagai Tanah Pengujung Benua Asia yang menjadikan daerah Pontian sebagai tarikan pelancong yang perlu dilawati. 

Seperti kebanyakan daerah di Malaysia ini, penduduk Pontian adalah terdiri daripada kaum-kaum Melayu, Cina dan India. Kehidupan bersama yang telah mereka lalui sejak beratus tahun lalu telah dapat mewujudkan satu suasana harmoni, saling memahami, tolong menolong walaupun menganut agama dan budaya yang agak berbeza.

Pusat perniagaan di Daerah Pontian adalah dibandar Pontian Kecil, sebuah bandar yang terbangun disebelah menyebabkan muara sungai yang punya nama yang sama. Pusat perniagaan di Daerah Pontian adalah dibandar Pontian Kecil, sebuah bandar yang terbangun disebelah menyebabkan muara sungai yang punya nama yang sama. 

Terdapat satu pekan kecil yang diberi nama Pontian Besar. Pekan ini sebenarnya jauh lebih kecil dari bandar Pontian Kecil. Ia mendapat panggilan "besar" itu disebabkan sungai yang terdapat berhampirannya adalah Sungai Pontian Besar.


PONTIAN KE KUKUP 

PENEROK

Dari Permas kita bergerak menghala ke bandar Pontian. Kita sampai di Kukup Golf Resort seterusnya pekan Penerok. Ada pendapat mengatakan bahawa nama ‘penerok’ ini berpunca dari keadaan sungai di sini yang begitu berliku-liku dan berbelok-belok hingga menyusahkan dan menerukkan orang-orang yang melaluinya. Orang-orang mengenangkan sungai ini sebagai ‘peneruk’ atau penyusah. Ada pula orang mengatakan bahawa nama ‘penerok’ berpunca dari banyaknya nyamuk terok di sini. 

TELUK KERANG

Kerana mahu mengelakkan gigitan nyamuk terok kite teruskan perjalanan lagi dan sampai ke Teluk Kerang. Mendengar sebutan Teluk Kerang amat mudah kita membuat andaian bagaimana tempat ini memperoleh namanya. Keadaan tanah pantai laut kawasan ini memeng berteluk dan banyak dipenuhi dengan kulit-kulit kerang. Oleh sebab itulah ia dinamakan Teluk Kerang.

RAMBAH

Selepas Peradin dan Parit Jerman kita pulang semula ke Teluk Kerang dan menuju arah ke Bandar Pontian dan sampai ke pekan Rambah. Dipercayai nama ‘Rambah’ berpunca dari perkataan Jawa ‘rambah’ yang bererti meneroka dan membuka kebun. Ini disebabkan pada tahun-tahun 1870an dan 1880an kawasan ini adalah kawasan yang diteroka dan dibuka oleh Syed Muhammad Alsagoff yang mendapat hak konsesi membuka kawasan Kukup dari Sultan Abu Bakar Johor. Beliau banyak menggunakan tenaga buruh dari Tanah Jawa. Besar kemungkinan buruh-buruh Jawa inilah yang turut sama ‘merambah’ atau meneroka kebun di kawasan ini dan selalu menyebut-nyebut perkaaan ‘rambah’ sesama mereka. “Aku arep lungo merambah” (aku hendak pergi meneroka kebun),  begitulah kira-kira dialognya. 


Pendapat lain pula mengatakan bahawa perkataan ‘rambah’ berpunca dari perbuatan mengambil daun tumbuh-tumbuhan dengan cara menebas, atau menebang. Dalam Kamus Dewan perkataan ‘rambah’ diberi pengertian seperti berikut: rambah,merambah 1.menebas, menebang (pokok, tumbuh-tumbuhan), membabat 2. meneroka (membuka) hutan, merintis (jalan) 3. metampat (memarang, memukul, menembak, menyebat, dll) 

RIMBA TERJUN

Kita terus mara ke arah Bandar Pontian dan bertemu Rimba Terjun. Perkataan Rimba Terjun adalah berpunca dari keadaan tanah hutan pada bahagian pantai kampung ini banyak dihakis oleh pukulan ombak laut. Dengan sebab ini juga terdapat tanah di tepi pantai ini yang keluasannya telah kurang dari sepatutnya. Umpamanya dalam geran tanah tertulis 5 ekar sedangkan keluasan tanah yang ada cuma 4 ekar, kerana tanah rimbanya yang satu ekar lagi telah ‘terjun’ ke air.



Rujukan Artikel klik sini