Thursday 2 February 2017

WAK NGADOR - TUKANG URUT TRADISIONAL PEMULIH PATAH TULANG

WAK NGADOR
Tukang Urut Tradisional Pemulih Patah Tulang 
Sumber : Buku 40 tokoh Pontian
Penyelidik : Saidi Arham
Wak Ngador @ Abdullah bin Katam adalah anak kedua dari 7 org adik beradik bagi pasangan Wak Katam yg berasal dari Magelang dan Parilah binti Marto, seorang dukun beranak berasal dari Wonosobo. Beliau dilahirkan di Kampung Parit Baru, Kayu Ara Pasong pada tahun 1925.
Semasa kelahiran Ngador, beliau dibidani sendiri oleh ibunya yang memang dukun beranak tanpa pertolongan orang lain. Si ibulah yang memotong tali pusatnya sendiri dan mengemas si bayi kerana si suami ketika itu berada di Muar.
Beliau sempat bersekolah hingga ke Darjah Empat. Beliau juga bersekolah agama pada sebelah petang. Setelah tamat perang pada tahun 1945 Ngador pergi belajar pondok di Parit Pinang Seribu di Muar. Beliau meneruskan pengajiannya di Kayu Ara Pasong dengan Kiyai Marwaji Mokhtarapi dan Kiyai Salleh Kendal. Beliau juga berguru kepada Kiyai Haji Abdul Jalil di Kampung Parit Yakun, Kukup.
Kerja mengurut telah dimulai oleh Wak Ngador semasa umurnya 16 tahun dgn mengurut kawan-kawannya. Sekitar 1970 beliau membawa teksi kepunyaanya sendiri. Dalam pada itu beliau memperuntukkan masa untuk tugas-tugas mengurut yang ditetapkannya mulai pukul 8.00 pagi hingga 11.00 tengahari. Menjelang tengahari membawa ke waktu zuhur beliau membawa teksi. Selepas zuhur hingga ke petang beliau bertugas semula dengan kerja urut mengurut terutama dalam hal patah tulang. Pada sebelah malam pula beliau selalu pula berada di rumah sakit Pontian kerana ramai para pesakit patah tulang memerlukan urutannya.
Satu ketika, Tengku Mahmud Iskandar, yg pada masa itu Tengku Mahkota Johor menitahkan agar Wak Ngador dijemput ke istana untuk member khidmat urut kepada baginda dan keluarga. Apabila ditabal menjadi sultan, baginda terus menjalin hubungan yang rapat dengan Wak Ngador dan sering mengundangnya datang ke istana. Semasa di istana ini juga Wak Ngador sering bertemu dengan Kiyai Haji Shamsudin. Selain itu, semasa menunaikan umrah dan haji, ramai jamaah yg meminta beliau mengurut. Orang-orang Arab sendiri turut merasa urutan tangan dari Wak Ngador. Kebolehan Wak Ngador bertutur dalam bahasa Arab memudahkan beliau berkomunikasi dengan orang-orang Arab ini. Diberitakan arwah Mokhtar Dahari juga pernah dtg berurut dgn beliau.
Hasil perkahwinan dengan Puan Saimah binti Bidin, Wak Ngador dikurniakan dengan 10 orang anak. Apabila Puan Saimah meninggal dunia beliau berkahwin pula dengan Puan Fatimah binti Sonto dan memperoleh dua orang anak lagi. Beliau berkahwin lagi dengan Puan Rahmah binti Rahmat apabila Puan Fatimah meninggal dunia pada awal tahun 1990 an.
Wak Ngador meninggal dunia pada 15 Ogos 2007 di rumahnya di Parit Sikom, Pontian.


Sumber dari  Facebook Dapunta Hiyang 

3 comments: