Friday 26 February 2016

SEJARAH PONTIAN II


BANDAR PONTIAN  


JALAN BAKEK   
 
      Dari Rimba Terjun kita ke Bandar Pontian. Kita sampai di simpang empat jalan ke Johor Bahru ke Pusat Perdagangan Pontian dan ke Jalan Bakek. Kita lalui Jalan Bakek yang membawa ke pusat Bandar Pontian. Di Jalan Bakek inilah dahulu pekan Pontian bermula hingga kini membesar dan berkembang seperti yang ada sekarang. Kalangan orang-orang tua hingga kini masih menyebut perkataan ‘bakek’ apabila mereka hendak ke Bandar Pontian. Perkataan ‘bakek’ adalah dari nama tumbuhan melata yang banyak terdapat di kawasan ini. Daun tumbuhan ini seperti daun sirih. Mengambil sempena banyaknya tumbuhan ini di tempat ini maka jalan dari simpang empat tadi hingga ke Sungai Pontian Kecil dinamakan Jalan Bakek.


PONTIAN KECHIL
Kita sampai di jambatan untuk menyeberang sungai Pontian Kechil. Nama Pontian Kechil berasal dari ‘Perhentian Kechil’. Pada zaman dahulu di kuala sungai inilah jadi tempat ‘perhentian’ atau persinggahan orang-orang yang berperahu atau bersampan yang melalui perairan ini untuk singgah berlabuh sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang lain. Oleh kerana perhentian di sini agak kecil, dan tidak ramai orang menyinggahinya jika dibandingkan dengan perhentian di kuala sungai yang satu lagi tidak jauh dari tempat ini, maka tempat ini dikenali sebagai ‘perhentian kechil’. Lama-lama sebutan ini berubah menjadi ‘Pontian Kechil”. Pendapat yang lain pula menyebutkan di kuala sungai inilah ‘perhentian ‘ para perompak lanun sebelum dan selepas merompak perahu-perahu yang lalu lalang  di perairan ini. Sebagai mengingati sejarah ‘perhentian’ ini juga nama sebuah sekolah menengah di Bandar ini dinamakan Sekolah Sri Perhentian. Begitu juga dataran jam yang dibangun di stadium mini Bandar Pontian ini dinamakan Dataran Perhentian. 

JALAN ALSAGOFF
Kita tinggalkan Sungai Pontian Kechil dan melalui Jalan Alsagoff. Nama Alsagoff ini adalah mengambil sempena nama Syed Muhammad bin Ahmad Alsagoff atau nama timang-timangannya Nongchik, seorang ahli perniagaan keturunan Arab yang terkenal di Singapura yang telah meneroka dan membuka daerah Kukup, pada tahun 1878 yang kemudiannnya dinamakan Pontian. Syed Muhammad Alsagoff adalah sahabat karib Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor ketika itu. Beliau juga sering membantu dan memberi pinjaman kepada Sultan Abu Bakar apabila Sultan Abu Bakar melawat benua Eropah. Malah beliau juga sering menemani dan bersama-sama Sultan Abu Bakar membuat lawatan ke luar negeri. Mengenangkan jasa dan sumbangan Syed Muhammad Alsagoff kepada baginda sultan dan negeri Johor, baginda telah menganugerahkan pingat Darjah Kerabat Johor (DK) kepada sahabat karibnya ini pada tahun1886.

JALAN TAIB
Kita lalui Jalan Alsagoff menuju ke tengah-tengah Bandar. Di sebelah kanan kita temui Jalan Taib. Nama jalan ini adalah mengambil sempena nama Mohd Taib bin Yusuf iaitu Penghulu kedua Mukim Pontian selepas Penghulu Abdul Manas bin Duarum. Beliau mula manjawat jawatan penghulu pada tahun 1910 berikutan kematian bapa saudaranya Abdul Manas bin Duarum. Penghulu Taib sebagai pentadbir mukim Pontian telah berusaha bersama-sama Pentadbir daerah di Kukup Laut bagi memajukan Pontian Kechil. Pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, rumah pasung, masjid, pejabat pos dan lain-lain kemudahan awam telah dibina. Beliau meninggal dunia pada tahun 1932 dan diganti oleh Penghulu Abdullah.

JALAN ISMAIL
Kita lalui pusa Bandar Pontian dan sampai ke simpang empat. Di kiri kita temui bangunan Maybank. Pada kawasan Maybank ini dahulu terletaknya masjid pertama Pontian Kechil yang dibuat dari kayu dan beratap zink. Berhampiran kawasan masjid ini juga dahulu terdapat tanah wakaf perkuburan Islam. Membelok ke kiri kita lalui Jalan Ismail. Jalan ini adalah mengambil sempena Encik Ismail yang menjadi jurutera di Lembaga Bandaran Pontian pada masa pusat pentadbiran Kukup (Pontian) berpindah dari Kukup Laut ke Pontian Kechil pada tahun 1935. 

JALAN PARIT MESJID
Kita kembali ke simpang empat. Arah bertentangan Jalan Ismail adalah Jalan Parit Masjid. Nama masjid pada jalan ini adalah mengambil sempena bangunan masjid yang terletak di kawasan yang kini ditempati bangunan Maybank. Jalan Parit Masjid ini memanjang melalui Kampung Parit Masjid dan seterusnya bertemu Kampung Parit Patah. Sebelum ini pada tahun 1960an dan 1970an, jalan ini dikenali dengan nama Jalan Wan Husin mengambil sempena nama Pemungut Hasil Tanah Daerah Kukup pada awal tahuin 1920an.

JALAN UMNO
Apabila kita masuki Jalan Parit Masjid mulai dari simpang empat yang menempatkan bangunan Maybank kita akan bertemu bangunan Tenaga Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara. Di hadapan bangunan TNB ini kita temui Jalan UMNO. Ia adalah mengambil sempena terletaknya bangunan ibu pejabat UMNO Pontian di jalan ini. Sebelum ini nama jalan ini ialah Jalan Lermit iaitu mengambil sempena nama seorang Inggeris yang bertugas sebagai posmen dan menjadi perantara antara kerajaan Johor dengan Syed Muhammad Alsagoff, peneroka tanah konsesi Kukup pada tahun 1878. Bangunan UMNO ini telah dibina hasil pungutan derma dari ahli-ahli UMNO dan orang Melayu Pontian pada tahun 1950an. Bangunan yang berharga RM27,000.00 ini mula dibina awal tahun 1954 oleh Encik Sulaiman Ambong, seorang kontraktor Melayu dari Batu Pahat dan siap pada penghujung tahun itu juga. Bangunan ini kemudiannya telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Dipertua UMNO YTM Tunku Abdul Rahman Putera pada 15 Mac 1955.

JALAN SYAWAL
Dari pangkal Jalan UMNO yang berhadapan dengan bangunan TNB tadi kita akan temui Jalan Syawal. Jalan Syawal ini adalah mengambil sempena nama Penghulu Syawal bin Sya’ban iaitu penghulu yang menjaga dan mentadbir kawasan Mukim Air Masin di kawasan Kukup pada awal tahun 1900an.

JALAN MOHD. SALLEH
Kita tinggalkan Jalan Syawal untuk lalu di hadapan Dewan UMNO dan seterusnya bertemu simpang empat. Di hadapan kita adalah Jalan Mohd. Salleh. Nama jalan ini adalah mengambil sempena pemilik tanah kawasan ini iatu Mohd. Saleh. Ia adalah ayah kepada Penghulu Abdullah yang dikenali juga sebagai Penghulu Jantan. 

JALAN DATO ALI RAYA

Kita membelok ke kiri melalui Jalan Dato Ali Raya. Sebelum ini jalan ini bernama Jalan Whitehouse iaitu mengambil sempena nama pegawai Inggeris yang menjadi wakil penerima tanah konsesi Alsagoff (Receiver Alsagoff Consession). Dato’ Ali Raya yang diabadikan pada nama jalan ini adalah Penolong Pegawai Daerah Pontian dari tahun 1952 hingga 1955. Disamping tugasnya sebagai Penolong Pegawai Daerah, beliau juga menjadi Ketua UMNO Bahagian Pontian. Beliau kemudian bertukar ke Kota Tinggi menjawat jawatan Pegawai Daerah pula.

Semasa beliau memimpin UMNO di Pontian, banyak kemajuan dan perubahan telah dilakukan hingga UMNO Pontian menjadi salah sebuah bahagian UMNO yang kuat dan disegani. Banyak cawangan-cawangan baru UMNO telah ditubuhkan di kampung-kampung. Ahli-ahli UMNO bertambah ramai. Atas daya usahanya juga sebidang tanah dapat dibeli dari Chen Sow Chong dan Yoong Wan Tat dengan harga RM7,000.00 bagi didirikan bangunan ibu pejabat UMNO Bahagian Pontian. Pada awal tahun 1956 beliau ditukarkan ke Kota Tinggi untuk menjawat jawatan Pegawai Daerah Kota Tinggi. Beliau kemudian bergerak cergas dalam politik UMNO hingga dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Endau. Seterusnya beliau dipilih menjadi Speaker DUN Johor dari tahun 1964-1969. 

JALAN ABAS
Dari Jalan Dato Ali Raya kita berbelok ke kiri untuk singgah di masjid jamik Bandar Pontian. Di hadapan masjid ini terdapat sebatang jalan menghala ke pantai. Jalan ini dinamakan Jalan Abas. Abas adalah mengambil sempena nama Encik Abas yang menjadi mandur atau ketua pekerja buruh kasar Lembaga Bandaran Pontian pada tahun-tahun 1930an dan 1940an.

LORONG ABDULLAH
Dari masjid jamek Bandar Pontian kita teruskan perjalanan ke arah utara. Selepas Jalan Dato Ali kita temui Jalan Abdullah. Jalan ini adalah mengambil sempena nama Penghulu Abdullah bin Mohd. Salleh yang dikenali juga dengan nama Penghulu Jantan iaitu Penghulu Mukim Pontian dari tahun 1932 hingga tahun 1941. Beliau adalah saudara  sepupu dengan Penghulu Taib iaitu Penghulu yang kedua Mukim Pontian bagi menggantikan Penghulu Abdul Manas bin Duarum yang meninggal pada tahun 1910. Menjelang kedatangan tentera jepun pada penghujung tahun 1941, Penghulu Abdullah telah ditangkap oleh tentera Inggeris dan dibawa berundur ke Singapura. Beliau dituduh bekerjasama dengan pihak Jepun kerana ditemui sehelai bendera Jepun di rumahnya. Nasib beliau tidak diketahui sepanjang masa pendudukan tentera Jepun di Singapura dari tahun 1942 hingga 1945. Beliau dipercayai terkorban semasa serangan udara tentera Jepun terhadap Singapura pada awal Januari 1942.

PARIT SEMERAH
Kita ke arah utara lagi dan menemui Jalan Parit Semerah. Kita berbelok ke kanan dan masuk Jalan Parit Semerah untuk seterusnya Kampung Parit Semerah. Nama Parit Semerah adalah sempena nama Semerah di Batu Pahat iaitu kampung asal para peneroka dan pembuka awal kampung ini yang diketuai oleh Abdul Ghafur. Mereka datang meneroka dan membuka Parit Semerah. Pontian ini pada penghujung tahun 1890an dan awal 1900an. Nama Semerah adalah berpunca dari nama pokok ‘merah’ yang terdapat di Semerah, Batu Pahat itu. Selain orang-orang Melayu dari Semerah yang sebahagiannya dari Melaka, orang-orang Jawa kemudiannya turut sama meneroka dan membuka Parit Semerah di Pontian ini.

PARIT KUDUS
Kita terus ke Parit Kudus. Kampung Parit Kudus telah diteroka dan dibuka sekitar tahun 1920an oleh penghijrah-penghijrah dari daerah Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Dengan itulah mereka menamakan kampung mereka sempena nama daerah asal mereka di Tanah Jawa. Perkataan ‘Kudus’ adalah dari bahasa Arab yang bererti ‘suci’. Nama Kudus sebagai nama kota dan daerah di Tanah Jawa itu telah diberi oleh Jaafar Sadik, salah seorang Wali Songo (Kumpulan Sembilan Wali) yang mengembangkan agama Islam di Tanah Jawa. Kudus tidak jauh dari kota Demak. Kedua-dua tempat ini dijadikan pusat gerakan untuk mengembangkan dan menyebarkan agama Islam di Tanah Jawa pada zaman silam.

PONTIAN BESAR
Kita tinggalkan Parit Kudus dan melalui semula Jalan Parit Semerah untuk seterusnya ke utara lagi. Kita sampai di jambatan Sungai Pontian Besar. Sebagaimana Pontian Kechil, nama Pontian Besar adalah dari perkataan ‘perhentian’. Kalau di kuala Pontian Kechil dikenali sebagai ‘Perhentian Kechil’, Pontian Besar adalah dikenali sebagai ‘perhentian besar’. Sebutan ‘perhentian besar’ kemudiannya berubah menjadi ‘Pontian Besar’.

Semasa daerah Pontian ini bernama Kukup dan berpusat di Kukup Laut, Pontian Besar agak terkenal kerana di sini ada pejabat kastam, rumah pasung (balai polis) dan pejabat pemeriksaan hasil hutan. Kapal-kapal dari Singapura juga berlabuh di sini selain singgah di Kukup dan Benut. Ketika itu Pontian Besar lebih besar dari Pontian Kechil. Bagaimanapun apabila pusat pentadbiran Kukup berpindah ke Pontian Kechil seterusnya nama daerah Kukup berubah nama menjadi Pontian, Pontian Kechil menjadi lebih besar dan membangun sebaliknya pula Pontian Besar mula malap seperti juga Kukup Laut. 



Rujukan Artikel klik sini 

No comments:

Post a Comment