Sunday 28 February 2016

SEJARAH PONTIAN IV

PONTIAN – TENGGAYUN 


SUNGAI BUNYI
            Setelah selesai meninjau ke utara dan sempadan antara daerah Pontian dengan Batu Pahat kita kembali semula ke Bandar Pontian dan membuat perjalanan ke arah Johor Bahru. Kira-kira 2 kilometer dari Bandar Pontian kita temui Kampung Duku kerana di kawasan ini memang banyak terdapat pokok duku. Kita teruskan perjalanan dan kita akan temui simpang menunjukkan jalan ke kampung Sungai Bunyi. Pada masa mula-mula di teroka di sungai ini sering kedengaran bunyi tangisan. Ini samalah seperti yang berlaku pada kampung Parit Puteri Menangis. Lantaran itulah kampung ini dinamakan Sungai Bunyi.

SERI BUNIAN
 
            Kita terus mara ke hadapan dan kita temui Seri Bunian. Kampung ini dahulunya dikenali sebagai kampung batu 33 dan bersebelahan dengan Sungai Bunyi. Penduduk-penduduk kampung ini adalah pandatang-pendatang dari Jawa. Orang-orang Jawa di sini menyebut Sungai Bunyi dengan sebutan ‘Sungei Boni’. Pada tahun 1950an orang-orang kampung secara gotong-royang telah mendirikan sekolah (sekolah rakyat) dan menamakan sekolah ini dengan nama Sekolah Melayu Seri Bunian iaitu perubahan dari ‘Sungai Boni’ dan mengingatkan kepada nama lagu Puteri Bunian. Dari nama sekolah ia berubah menjadi nama kampung kerana dirasakan nama Seri Bunian ini amat indah dan menarik.


TENGGAYUN
            Kita masuk ke Kampung Seri Bunian seterusnya ke dalam lagi kita temui kampung Tenggayun.  Kampung ini diteroka dan dibuka oleh penghijrah-penghijrah dari Jawa sekitar tahun-tahun 1920an.  Nama ‘Tenggayun’ adalah dari bahasa Jawa yang bermakna sejenis pokok yang buahnya seperti buah durian. Dalam Kamus Dewan ‘tenggayung’ disebutkan sebagai sejenis tumbuhan (pokok yang kayunya dijadikan perkakas rumah), Parartocarpus trianda. Kita berpatah balik untuk menuju ke Johor Bahru. Kita sampai ke simpang yang
menunjukkan arah ke Parit Selangor.


KESIMPULAN
            Sebahagian besar kampung-kampung tradisional terutama yang terletak di tepi jalan besar dari Kukup di selatan membawa ke Tampok di utara sedikit sebanyaknya telah terakam mengenai asal usul namanya. Demikian pula asal mulanya kampung-kampung dan tempat-tempat di jalan besar antara Pontian Kechil ke Ulu Choh. Namun terdapat puluhan kampung dan tempat lagi dalam mukin-mukim di daerah Pontian ini yang tidak  diketahui asal mula namanya.
Para pembaca sendiri hendaknya dapat turut sama untuk menyelidik dan mengetahui asal usul nama kampung atau tempat ini. Dengan ini anda turut sama memahami, mengenali, mempelajari dan mencintai sejarah negara dan bangsa sendiri.



RESPONDEN:
  1. Tuan Hj. Misran Hj. Nor, Penghulu Mukim Ayer Baloi, Pontian
  2. En. Ilham Mahujan, Penghulu Jeram Batu – Pangkalan Raja, Pontian
  3. Tuan Hj. Mokhtaram Rabidin, Bekas Anggota Parlimen Kawasan Pontian dan Bekas Pengetua Sekolah Datuk Ali Haji Ahmad, Pontian
  4. Tuan Hj. Mohd. Arif Ghazali, Bekas Setiausaha Datuk Ali Haji Ahmad,Pontian
  5. Tuan Hj. Abas Sahidin, Ketua Kampung Parit Keroma, Ayer Baloi, Pontian
  6. Tuan Hj. Abu Bakar Othman, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  7. Tuan Hj. Yaakub Mohd. Sham, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  8. Tuan Hj.. Sulaim
  9. Tuan Hj. Shamsi Adnan, Bekas Penghulu di Pejabat Daerah Pontian
  10. Tuan Taib, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  11. Tuan Hj. Abd. Rahman Abd. Manan, Bekas Pekerja Sek. Keb. Sanglang, Pontian
  12. Tuan Hj. Shamsudin Ahmad, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pontian
  13. Tuan Haji Abd.Wahab Ahmad, Bekas Guru Sekolah Rendah di Pekan Nanas,

Rujukan Artikel klik sini

No comments:

Post a Comment