Saturday 27 February 2016

SEJARAH PONTIAN III

PONTIAN – AYER BALOI 

KAYU ARA PASONG
        Dari Pontian Besar kita menuju ke utara. Kira-kira satu kilometer dari jambatan Sungai Pontian Besar kita temui simpang tiga. Kita berbelok ke kanan dan memasuki jalan ke Kayu Ara Pasong. Kampung ini memperoleh namanya kerana wujudnya dua pokok kayu ara diantara dua tebing sungai di kawasan Parit Kayu Ara Pasong di ulu sungai Pontian Besar. Dahan kedua-dua pokok kayu ara ini bertemu dalam keadaan seperti berpasung.Dengan itulah  dinamakan Kayu Ara Pasong. Pada awal-awal pembukaannya dahulu kampung Kayu Ara Pasong ini dikenali sebagai ulu Pontian Besar kerana letaknya di kawasan ulu sungai Pontian Besar. 

Kampung ini telah diteroka dan dibuka oleh penghijrah-penghijrah dari Tanah Jawa yang diketuai oleh Haji Siraj bin Bonyamin. Beliau juga menjadi penghulu pertama kampung ini yang ditauliahkan oleh raja Johor menjadi penghulu pada tahun 1889. Pekan yang kini dikenali sebagai Pekan Kayu Ara Pasong, dahulu dikenali juga dengan panggilan ‘pasar’ iaitu tempat para penduduk kampung-kampung sekitar kawasan ini berbelanja di beberapa buah kedai yang ada di situ. Dari  pekan Kayu Ara Pasong kita teruskan perjalanan dan membelok ke arah kanan menuju Jalan Kolam Air.


API-API
         Kita berpatah balik ke simpang Pontian Besar - Kayu Ara Pasong. Kita teruskan perjalanan ke arah utara. Kita temui kampung Api-Api. Di bahagian pantai kampung ini kedudukannya adalah berteluk dan banyak ditumbuhi pokok Api-api. Inilah puncanya tempat ini dinamakan Api-Api. Api-Api mula dibuka kira-kira tahun 1900 dengan mempunyai penghulu bertauliah bernama Husin bin Wak Tema. Apabila dilakukan pembentukan dan pindaan mukim dan daerah pada tahun 1927, kampung-kampung yang berdekatan dengan Api-Api seperti Pulai Sebatang, Pontian Besar dan Kayu Ara Pasong telah dirangkai dan menjadi mukim Api-Api di bawah jagaan seorang penghulu iaitu Abdul Ghani bin Ahmad. Selepas tahun 1900, beberapa kampung baru di bahagian sebelah darat telah dibuka oleh penghijrah-penghijrah dari Jawa di sekitar kawasan mukim Api-Api ini. Kampung-kampung ini ialah Parit Sg. Naga, Parit Haji Zain, Parit Haji Omar, Parit Haji Abdul Rahman, Parit Haji Dahlan dan lain-lain. 


PULAI SEBATANG 
            Dari Api-Api kita ke Pulai Sebatang pula. Kampung ini memperoleh namanya dari adanya sebatang pokok pulai yang amat tinggi di kawasan ini. Oleh kerana tingginya, ia menjadi pedoman orang-orang yang belayar di laut apabila hendak masuk ke kuala sungai kampung ini. Bagaimanapun pokok kayu pulai yang tinggi dan bersejarah ini kini telah tumbang. Sebelum dikenali dengan nama Pulai Sebatang kampung ini dikenali sebagai Sungai Ayer Baloi Kanan yang diteroka oleh Tandang bin Ming dan Tok Serah serta beberapa pengikutnya orang-orang Bugis dari Kesang, Muar. Apabila diadakan pemilihan penghulu, Tandang bin Ming telah terpilih dan diberi tauliah oleh raja Johor pada 1 Zulhijah 1306 Hijrah iaitu kira-kira tahun 1889 Masehi. 

Apabila Penghulu Tandang meninggal dunia, jawatan penghulu disandang pula oleh anak Tok Serah yang bernama Abdul Manaf dan diberi tauliah pada 23 Februari 1910. Salah seorang anak Penghulu Abdul Manaf ialah Mohd. Noh yang kemudiannya menjadi Guru Pasukan Sekolah-sekolah Melayu Pontian pada tahun-tahun 1950an. Kemudiannya pada tahun-tahun 1970an menjadi Nazir Sekolah-sekolah Melayu Daerah Johor Bahru. Pada era Dato’ Sardon Jubir menjadi wakil rakyat Parlimen kawasan Pontian Utara beliau telah mengusahakan penubuhan kilang mengetin nanas milik kerajaan di kampung ini. Walau bagaimanapun setelah kira-kira satu dekad beroperasi kilang ini merosot dan merugikan. 

Akhirnya terpaksa ditutup. Sebuah syarikat elektronik dari Singapura kemudian menyewa bangunan kilang ini untuk beroperasi sebagai kilang elektronik. Setelah beberapa tahun dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di sini serta luar kilang ini ditutup. Mulai tahun 2000 lalu sebuah blok kilang ini digunakan sebagai bangunan Institut Kemahiran Belia Negara yang sebelumnya berpusat di Skudai, Johor Bahru. 


AYER BALOI
            Dari Pulai Sebatang kita ke hadapan lagi dan sampai ke Ayer Baloi. Pekan Ayer Baloi ini dahulu terkenal dengan panggilan ‘Tambur’. Ini disebabkan di tengah-tengah pekan ini mengalir anak sungai yang telah mati dan tiada berair sehingga tersumbat air di bawah jambatan yang merentangi anak sungai pekan ini. Dari keadaan sungai yang tambur atau tersumbat dan kekeringan air ini satu hari berlakulah banjir besar. Air dari laut telah melempah di tengah pekan ini. Kalau selama ini tempat ini kering kini ia dibanjiri air. Memang sungguh’berbaloi’ apabila menerima limpahan air ini. Sejak itu juga orang sering menyebutnya ‘Air Baloi’. 

Ayer Baloi mulanya dikenali sebagai Sungai Ayer Baloi yang telah diteroka atau dibuka oleh Tahir bin Kesang. Beliau berasal dari Kesang Muar dan kemudian menetap dengan Temenggung Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura. Beliau telah dititahkan oleh Temenggung untuk membuka dan seterusnya menjadi Penghulu Ayer Baloi dan ditauliahkan pada 1 Zulhijah 1292 Hijrah bersamaan tahun TM1889. Ayah Haji Tahir iaitu Kesang adalah orang yang membuka Kesang di Muar yang menjadi sempadan antara Johor dengan negeri Melaka. Adik beliau yang dikenali sebagai Tok Moin dipercayai telah membuka Sungai Benut. Keturunan dari Haji Tahir ini telah menjadi Penghulu Ayer Baloi. Selepas kematiannya anaknya yang bernama Abu Bakar telah menggantikannya sebagai Penghulu Ayer Baloi yang kedua. Seterusnya cucunya yang bernama Yaumun pula telah menjadi Penghulu Ayer Baloi yang keempat dan akhirnya cicitnya yang bernama Ibrahim telah menjadi Penghulu Ayer Baloi yang keenam sehingga bersara pada tahun 1973. 


Rujukan Artikel klik sini

No comments:

Post a Comment