Thursday 13 April 2017

Projek Pembangunan Parlimen Pontian Berjumlah RM119 Juta Diluluskan


Mohamed Khaled mendengar taklimat mengenai projek pembinaan SAKJ di dalam kawasan Parlimen Pontian oleh pihak Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

PONTIAN, 10 April – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM119 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam kawasan Parlimen Pontian pada tahun ini.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan peruntukan bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau mengumumkan jumlah peruntukan itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor WiFi Luar Bandar, dekat sini, sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Pontian, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Pontian, On Jabbar; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong merangkap ADUN Pulai Sebatang.
Menurut Mohamed Khaled, peruntukan tersebut adalah bagi menjayakan pelbagai projek, antaranya ialah;
1) RM37.5 juta bagi pelaksanaan Projek Kemajuan Kawasan (PPK) iaitu projek penempatan semula penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Nelayan, Kampung Seri Tanjung dan Kampung Sanglang. Ia melibatkan seramai 170 keluarga yang akan dipindahkan ke Kampung Parit Makuasang.
2) RM9 juta diperuntukkan bagi Pengambilan Balik Tanah (PBT) seluas 35.8 ekar untuk membina rumah mampu milik di kawasan Parlimen Pontian.
3) RM7.39 juta bagi pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di Kampung Seri Bugis dan Kampung Lebai Mohd Yaakob.
4) RM400,000 bagi menjayakan Projek Molluscure Kerang, sebuah inovasi yang direka bagi menyingkirkan logam toksik daripada spesis seperti kerang, kupang dan tiram. Ia diusahakan kerajaan negeri melalui Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
5) RM1.5 juta bagi penyediaan Pusat Pengumpulan Perusahaan Kecil Sungai Pinggan.
6) RM11.835 juta bagi pembinaan jambatan kedua daerah Pontian.
7) RM2.6 juta diperuntukkan pada tahun ini sebagai permulaan bagi pelaksanaan projek naik taraf Jalan Parit Ibrahim dan Parit Jawa. Jumlah keseluruhan projek adalah RM26 juta.
8) RM1.5 juta diluluskan bagi projek naik taraf simpang empat Pekan Benut.
9) RM47.678 juta diperuntukkan bagi menyelenggara jalan-jalan kampung, jalan-jalan negeri dan jalan-jalan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
10) RM4 juta bagi pembinaan masjid-masjid baharu di daerah Pontian.
11) RM1.35 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran.
12) RM200,000 bagi menaik taraf kuala di Sungai Kampung Benut.
13) RM2 juta bagi menaik taraf infrastruktur di Dataran Dato’ Jalok.
14) RM50,000 bagi menaik taraf bangunan Perpustakaan Desa di Kampung Parit Puteri Menangis.

sumber : - http://jauhar.my

No comments:

Post a Comment